SEMANGAT 1MALAYSIA
TERAS KEJAYAAN
Sejambak
kasih, seharum kasturi buat saudara/i peneraju majlis, kombinasi kehakiman yang
berlandaskan neraca keadilan, guru-guru penggerak generasi berwawasan
seterusnya warga dewan sekalian. Assalamualaikum wm..wbt...
Semangat 1Malaysia Teras Kejayaan. Begitulah tajuk pidato saya pada hari ini.
Semangat bolehlah ditakrifkan sebagai perasaan
dan jiwa, 1Malaysia bolehlah ditakrifkan
sebagai rakyat yang berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Teras
kejayaan pula bermaksud sesuatu yang menjadi asas agar berjaya untuk kemenangan ataupun hasil yang diperoleh. Aspirasi
ini adalah untuk mewujudkan sebuah negara
bangsa yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyat.
Warga dewan yang dirahmati
Allah sekalian,
Semangat persaudaraan
membawa kejayaan negara tercinta. 1Malaysia adalah lahir daripada semangat
setiakawan. Walaupun berbeza asal keturunan, kepercayaan agama dan akar budaya
namun rakyat Malaysia berpegang pada satu prinsip yang sama iaitu Rukun Negara.
Kita
berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People (Dengan
Izin). Dalam hal ini, 1Malaysia, menuntut rakyat berfikir melepasi sempadan
kaum dan etnik masing-masing.
Hubungan kaum dan etnik dipereratkan bagi jangkamasa
panjang. Kewujudan satu bangsa Malaysia membentuk sikap menghormati, ikhlas,
saling mempercayai dan persaudaraan.
Buktinya RIMUP dan
e-intergrasi telah mensasarkan murid-murid
dari SK, SJK(C) dan SJK(T) bersama-sama mengikuti satu program bersama.
Pelaksanaan RIMUP dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan adalah untuk membina
negara bangsa.
Ideologi dengan semangat persaudaraan dalam 1Malaysia pasti
menggerakkan kejayaan negara.
Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Sidang intelektual
sekalian,
Meniti wasilah kedua saya dengan untaian kata, Kemajuan ekonomi dinikmati, kemakmuran
negara dikecapi. 1Malaysia dapat membangunkan ekonomi negara. Pelancong dan
pelabur asing mengenali rakyat Malaysia yang
berintegriti tinggi.
Kini, Malaysia menerokai bidang sains angkasa,
bioteknologi dan teknologi nano. Menurut laporan Kesatuan Telekomunikasi
Antarabangsa, Malaysia mencatatkan nilai digital 0.57 bermakna kita mendahului
kemudahan akses digital dalam kalangan negara ASEAN.
Justeru, 1Malaysia telah meningkatkan taraf ekonomi
negara menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan
negara lain.
Hadirin yang dihormati
sekalian,
Idea terbilang terakhir saya dengan gagasan bicara, perpaduan dan semangat nasionalisme, negara
aman dan sentosa. Peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969 perlu dijadikan
iktibar. Formula yang dicipta oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Tan
Siew Sin dan Tun Sambanthan adalah untuk perpaduan dan semangat nasionalisme.
Kini 1Malaysia disandarkan dalam memperkukuhkan perpaduan
nasional.
Negara ini adalah negara
kita. Kita adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati dan
dikongsi secara bersama. Segala pembangunan adalah limpahan daripada perpaduan
yang diteruskan dalam 1Malaysia.
Lihatlah apa yang berlaku pada negara-negara yang sedang
bergolak seperti Mesir, Syria dan Libya. Perpaduan sudah tiada. Kemusnahan berlaku di mana-mana. Rakyat
menderita dan sengsara. Mengorbankan banyak nyawa. Sehingga melibatkan campur
tangan negara luar.
Kasihan....
Jangan sampai negara kita menerima nasib seperti mereka. Kami, anak-anak pasca
merdeka dahagakan keamanan untuk kesejahteraan.Saya menyeru tuan-tuan,
puan-puan dan rakan-rakan sekalian berpegang pada konsep 1Malaysia agar negara
ini terus cemerlang, gemilang dan terbilang.
‘Bersatu kita
teguh bercerai kita roboh.’
Sekian, salam ilmiah
menjana sahsiah.
Disediakan oleh,
Puan Hajah Norliza bt Sam Zakaria
SK. Taman Tuanku Jaafar 2, Seremban.
Mac 2012
Assalamualaikum cikgu.
ReplyDeleteSaya ingin memohon keizinan bagi menggunakan sepenuhnya teks pidato ini untuk tujuan pendidikan.
Terima kasih atas budi baik cikgu.