Bismillah......
Assalamualaikum wm..wbt..,
Yang berbahagia Encik Jor bin Ahmad, Yang Dipertua PIBG, SK. Taman Tuanku Jaafar 2.
Yang berusaha Puan Rahimah bt Ibrahim, GPK 1.
Yang berusaha Puan Lim Chiew Yang, GPK HEM.
Yang berusaha Encik Azissul bin Mahat, GPK Kokurikulum.
AJK PIBG, barisan guru yang dedikasi seterusnya murid-murid yang dikasihi sekalian.
Alhamdulillah. Bersyukur kita ke hadrat Allat S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnianya dapat kita berhimpun pada hari yang berbahagia ini sempena sambutan hari guru. Sambutan Hari Guru pada hari ini adalah sebagai tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru.
Selaku Guru Besar SK. Taman Tuanku Jaafar 2, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini, untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di sekolah ini. Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan atas segala pengorbanan dan sumbangan besar para guru terhadap murid-murid dan sekolah ini.
Pencapaian demi pencapaian diperolehi dan kejayaan demi kejayaan dikecapi baik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum sehingga sekolah ini mula digeruni oleh sekolah-sekolah rendah yang lain. Malah sekolah ini mula dijadikan sebagai penanda aras kepada sekolah-sekolah yang lain. Inilah bukti yang menunjukkan bahawa para guru di sekolah ini sentiasa positif dalam melonjakkan transformasi pendidikan negara.
Murid-murid dan guru-guru yang dirahmati Allah sekalian,
“Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”. Begitulah tema hari guru pada tahun ini. Pada pendapat saya, guru-guru di sekolah ini telah memainkan peranan ke arah merealisasikan pendidikan bertaraf dunia. Apa yang saya lihat ialah para guru di sekolah ini bukan sahaja menekan aspek akademik dan kokurikulum semata-mata. Para guru di sekolah ini juga berusaha untuk membangunkan modal insan dengan memberi tumpuan kepada sistem nilai iaitu aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri para pelajar.
Guru memainkan peranan yang signifikan kepada pembinaan dan pembangunan sahsiah dan peribadi murid-murid. Malah, dengan perkembangan semasa yang mana berlakunya gejala ponteng sekolah, pergaduhan dan lain-lain dipikul oleh guru dengan rasa penuh tanggungjawab.
Bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menuntut agar para guru dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Hadirin yang saya muliakan,
Inisiatif Tawaran Baru telah menunjukkan hasil yang amat positif apabila guru-guru di sekolah ini layak menerima bayaran insentif atas perkhidmatan mereka yang cemerlang. Alhamdulillah, segala perit jerih guru-guru sekalian telah membuahkan hasil apabila sekolah ini menerima baiah sekali lagi bagi tempoh dua tahun berturut-turut. Untuk itu, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru di sekolah ini.
Saya yakin dengan adanya guru-guru yang berdedikasi, proaktif, inovatif dan ibu bapa yang prihatin maka Insya-Allah proses melonjakkan transformasi pendidikan negara di sekolah ini dapat direalisasikan. Dengan keringat guru-guru ini, maka sekolah dapat melahirkan insan yang mulia dan membina masa depan yang sejahtera.
Hadirin sekalian,
Bertitik tolak daripada sumbangan dan pengorbanan guru ini, maka sewajarnya murid-murid dan masyarakat meraikan sambutan hari guru pada hari ini sebagai menghargai warga pendidik . Bak kata pujangga tentang guru ialah,
Dialah pemberi paling setia,
Tiap akar ilmu miliknya,
Pelita dan lampu segala,
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa, dia juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru. Semoga para guru sekalian akan terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menabur jasa kepada nusa dan bangsa.
Sekian, wabilahitaufiq wal-hidayah wassalam....
No comments:
Post a Comment