Assalamualaikum wm..wbt..
Yang Berbahagia Encik Jor bin Ahmad, Yang Dipertua PIBG, Sekolah Kebangsaan
Taman Tuanku Jaafar 2.
Yang Berusaha Puan Hajah Noor Semarli bt Haji Alias, Guru Besar Cemerlang, Sekolah
Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar 2.
Puan Rahimah bt Ibrahim, Guru Penolong Kanan 1. Puan Lim Chew Yang, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Encik Azissul bin Mahat, Guru Penolong Kanan Kokurikulum.
Barisan Guru Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar 2 yang dedikasi.
Seterusnya rakan-rakan pencetus kegemilangan negara.
Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul pada hari ini dengan hasrat yang satu iaitu meraikan sambutan hari guru.
"Selamat Hari Guru buat semua guru yang kami sayangi"
Rakan-rakan sekalian,
Guru-guru sentiasa berada di barisan hadapan dalam melahirkan generasi berilmu bertepatan dengan tema hari guru pada tahun ini iaitu “ Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”.
Segala kejayaan yang kita kecapi, semalam, hari ini dan esok terletak pada tugas yang digalas oleh insan yang bergelar guru. Tugas guru merupakan satu tugas yang mulia dan murni. Guru telah mendidik kita dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu. Maka tidak hairanlah guru dapat melonjakkan transformasi pendidikan negara agar lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Segala pengajaran yang diberikan oleh semua guru amat kami hargai. Akan kami gunakan segala ilmu yang telah disampaikan untuk membina jati diri. Seterusnya, berbakti kepada agama, bangsa dan negara tercinta.
Kami sebagai generasi muda, berjanji akan meneruskan legasi kemakmuran dan keharmonian negara ini.
Cikgu,
Kalau tinggi Gunung Everest, tinggi lagi budimu, cikgu.
Kalau dalam lautan Atlantik, dalam lagi jasamu, cikgu.
Kalau harum bau kasturi, harum lagi pengorbananmu, cikgu.
Terima kasih cikgu,
Akhir kata, sekali lagi saya dan rakan-rakan mengucapkan Selamat Hari Guru. Kami doakan semoga cikgu-cikgu panjang umur, murah rezeki, sihat dan dapat terus berbakti dengan tulus dan ikhlas demi melahirkan modal insan minda kelas pertama.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment