Bis........
Assalamualaikum wm..wbt..
Yang berusaha Puan Hajah Noor Semarli bt Hj Alias, Guru Besar Cemerlang SK. Taman Tuanku Jaafar 2.
Puan Rahimah bt Ibrahim, Guru Penolong Kanan 1.
Puan Lim Chiew, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
Encik Azissul bin Mahat, Guru Penolong Kanan Kokurikulum.
Barisan Ahli Jawatankuasa PIBG, SK. Taman Tuanku Jaafar 2.
Guru-guru yang diraikan dan murid-murid yang dikasihi sekalian.
Saya ingin melahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama meraikan sambutan Hari Guru Peringkat sekolah pada tahun ini. Semoga hari yang penuh bermakna bagi warga pendidik di sekolah ini disambut dalam suasana yang ceria, harmoni dan menyeronokkan.
Sidang hadirin yang berbahagia,
Saya ingin mengambil kesempatan dan peluang pada hari ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru dan Terima kasih Cikgu buat semua guru di sekolah ini. Guru-guru di sekolah ini begitu dedikasi, jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab. Mereka telah mendidik, mengajar, membimbing malah turut mengasuh murid-murid agar menjadi insan yang harmonis.
Bertepatan dengan tema hari guru pada tahun ini iaitu Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara. Guru-guru di sekolah ini adalah sebahagian daripada guru-guru inovatif yang terdapat di Malaysia. Kejayaan demi kejayaan telah dicipta baik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Kesungguhan para guru untuk membawa transformasi atau perubahan di sekolah ini, tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Kejayaan pihak sekolah menerima ‘baiah’ dalam tempoh dua tahun berturut-turut membuktikan betapa konsistennya pengurusan pihak sekolah dan peranan yang dimainkan oleh setiap warga sekolah.
Kini, peranan guru dalam melonjakkan transformasi pendidikan negara harus bergerak seiring dengan penerapan nilai-nilai murni. Anak-anak ibarat kain putih yang bersih maka sememangnya ibu bapalah yang harus mencorakkannya. Namun, ibu bapa turut meletakkan harapan yang tinggi agar anak-anak mereka turut memiliki sahsiah yang sempurna semasa di sekolah.
Kerana apa? Kerana di sekolahlah, anak-anak ini berpeluang untuk mengembangkan bakat, kebolehan, kecenderungan, mengeluarkan pendapat, berkomunikasi dan berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya. Peluang tersebut tidak mereka miliki semasa mereka berada di rumah atau bersama keluarga. Lebih-lebih lagi apabila para guru dijadikan sebagai role model kepada keberkesanan pendidikan untuk murid-murid di sekolah dan masyarakat
Sidang hadirin yang dihormati,
Selaku YDP PIBG, saya turut merasakan betapa pentingnya sambutan hari guru diadakan pada 16 Mei setiap tahun. Sambutan hari guru ini adalah satu pengiktirafan dan penghargaan tentang peranan guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa Malaysia. Justeru, wajarlah bagi murid-murid, ibu bapa dan masyarakat meraikan sambutan hari guru . Inilah cara yang terbaik untuk melahirkan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa insan yang tidak ternilai yang bernama guru.
Kepada semua murid yang saya kasihi sekalian, hargailah jasa para guru.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Akhir kata, kepada semua para pendidik di sekolah ini, jasa, bakti dan pengorbanan yang cikgu berikan amat dihargai dan disanjung tinggi. Sama-samalah kita memanjatkan doa agar semua guru di SK. Taman Tuanku Jaafar 2 ini diberi kekuatan, kegigihan dan kesihatan agar dapat melaksanakan tugas yang mulia ini.
Sekian, wabilahitaufiq wal-hidayah wassalam........
No comments:
Post a Comment