Tuesday, 4 December 2012

Kanak-kanak Berkeperluan Khas Unit 1-5 (Modul UPSI-PJJ)

Unit 1 : Definisi dan Konsep Pendidikan Khas

1.Program Pendidikan Khas di Malaysia terdiri daripada :
    i)     Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran (KKBP)
    ii)    Kanak-kanak Bermasalah Pendengaran
   iii)    Kanak-kanak Bermasalah Penglihatan

2. KKBP terdiri daripada :
     i)   Sindrom Down
    ii)   Perkembangan Lewat
   iii)   Autisme
    iv)  Hiperaktif
     v)  Cerebral Palsy
    vi)  Epiletik
    vii) Masalah Emosi
   viii) Masalah Pertuturan

3. Falsafah Pendidikan Khas di Malaysia : Satu usaha berterusan untuk melahirkan insan yang
    berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan
    kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang
    seimbang dan produktif selaras denga Falsafah Pndidikan Negara.

4. Tiga prinsip dalam pendidikan khas ;
     a) Pendidikan menyeluruh dan bersepadu  : Fokus meliputi aspek jasmani, rohani, intelek dan
         sosial. (Penglibatan kumpulan pelbagai disiplin secara kolaboratif dan bersepadu )
     b) Pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna : Merangsang dan mengekalkan minat
          murid berkeperluan khas untuk belajar. Suasana pembelajaran yang kondusif agar murid
          menguasai pengetahuan dan kemahiran.
     c) Pendidikan sepanjang hayat : Pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk
         digunakan dalam kehidupan seharian.

5. Pendekatan  pdp dan penilaian dibentuk mengikut keperluan murid :
    a) Bidang pengurusan kehidupan : pengurusan diri, kemahiran manipulatif, tingkahlaku dan
        kemahiran hidup.
    b) Bidang akademik : komponen m/p - BM, M3, BI, TMK
    c) Bidang kerohanian dan nilai-nilai murni : Komponen m/p - Pendidikan Agama Islam dan 
        Pendidikan Moral.
    d) Bidang sosial, riadah dan kreativiti : Komponen PJK, MZ, Gerakan dan Drama, Sains,  Sosial
        dan Alam Sekitar.

6. Model-model Pelaksanaan Pendidikan Khas:
    a) Model Sosial (Social model)
    b) Model Perubatan (Medical model)

7. Pasukan pelbagai disiplin dalam menjayakan program pendidikan khas:
    a) Ibu bapa
    b) Sekolah
    c) Pakar Perubatan
    d) Bahagian Pendidikan Khas
    e) Jabatan Kebajikan
    f) Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)
    g) Masyarakat.

8. Fungsi keseluruhan kumpulan pelbagai disiplin meliputi pengenalpastian masalah iaitu :
    a) Menaksirkan dan memperincikan masalah asal atau spesifik ( kognitif, fizikal, pendengaran,
        penglihatan, komunikasi, emosi atau tingkah laku).
    b) Mengkaji semula intervensi. Mengenalpasti keberkesanan strategi untuk pemulihan
        dan menilai kesesuaian program.
    c) Mencari alternatif : Memberi pelbagai cadangan/pendekatan untuk pemulihan.
    d) Mengenalpasti keperluan khas : Merekod keperluan kanak-kanak.
    e) Pemilihan penyelesaian : Cadangan rancangan pengajaran individu dalam program pendidikan.
    f) Rancangan pendidikan : Bertanggungjawab  menjalankan dan memantapkannya.

9. Peranan pakar perubatan;
    a) Pediatrik : Punca genetik, kewarisan, prenatal dan postnatal
    b) Neurologi : Diagnostik dan mengubati penyakit seperti kecacatan otak, hiperaktif dan memberi
        ubat "Ritalin" untuk mengawal keaktifan.
    c) Terapi pertuturan : Mengesan masalah komunikasi dan menjalankan terapi pertuturan untuk
         gagap, sumbing dan yang mempunyai masalah artikulasi untuk bertutur.
    d) Terapi fizikal : Menaksir fungsi motor halus dan kasar, membantu dan melatih kemahiran
        hidup dan diri.
    e) Audiologi : Mengesan fungsi pendengaran.
    f) Oftomologi : Menaksir penglihatan pelajar.

Unit 2 : Sejarah Perkembangan Pendidikan Khas

1. Sejarah Pendidikan Khas boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu :
      a) Peringkat Pertama ( Awal – 1947) : Peranan utama oleh institusi keluarga dan masyarakat 
          iaitu pertubuhan agama, etnik, ibu bapa dan badan sukarela. Pada awal penubuhan memberi
         penekanan dan tumpuan pada masalah penglihatan.

          Sekolah  Rendah Pendidikan Khas yang  paling awal ialah St. Nicholas di Pulau Pinang (1926)
          dan Princes Elizabeth di Johor Bharu (1949).

         Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang pula dibina khusus
         untuk masalah pendengaran. 

         Bourgeault (1970) : Di zaman penjajahan British,  pendidikan khas untuk masalah penglihatan
        dipelopori oleh  pergerakan sosial  iaitu institusi-institusi bercorak keagamaan.

         Chua Tee Tee : Pendidikan khas di negara ini bermula apabila Misi Anglican mendirikan rumah
         dan Sekolah  St. Nicholas bagi OKUP di Melaka pada 1926 yang kemudian dipindahkan ke
         Pulau Pinang.

    b) Peringkat Kedua (1948 – 1980 ) : Historical milestone  dengan memperlihatkan peranan dan  
        penglibatan pihak kerajaan membuka dan menubuhkan sekolah pendidikan khas. 

        Pelbagai langkah diperkenalkan dan diperkemaskan  untuk meningkatkan mutu pendidikan iaitu
        model penyampaian baru dan komunikasi seluruh diperkenalkan kepada guru-guru pendidikan
        khas bermasalah pendengaran  dari 1979 -1981 dan 1984-1986.

        Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mempertingkatkan kemudahan di semua sekolah khas, 
        mengalami zaman anjakan paradigma, merangka dasar pendidikan nasional yang
        komprehensif, menyediakan keperluan asas bagi pelajar-pelajar yang istimewa.

       Latihan guru-guru khas dimulakan pada tahun 1962 dalam bidang pendidikan kanak-kanak
       bermasalah penglihatan dan pendengaran pada tahun 1963 di MPIK, Kuala Lumpur.

       Unit Pendidikan Khas, Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan ditubuhkan bagi
       menguruskan program pendidikan khas pada tahun 1964.

       Suatu perakuan kabinet iaitu perakuan 169, 170, 171, 172 dan 173 diterbitkan. Justeru,
       membantu memaju dan meluaskan skop program dan aktiviti Pendidikan Khas.

      Dasar mengenai pendidikan khas dinyatakan dalam Akta Pelajaran 1961 iaitu sekolah khas
      bermakna sekolah yang menyediakan layanan pendidikan yang khas untuk murid-murid yang
      kurang upaya. Akta ini memberi kuasa kepada menteri untuk menyediakan kemudahan
      pendidikan khas, menggubal kurikulum pendidikan yang sesuai dengan jenis murid-murid bagi
      memperkembangkan pendidikan khas.

c) Peringkat ketiga ( 1981 - sekarang ) : Pihak kerajaan merupakan penggerak utama untuk
    perkhidmatan kemudahan fizikal, khidmat sokongan, peruntukan kewangan dan  kepakaran
    disalurkan terus untuk pendidikan khas.

    Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu  pada Tahun Antarabangsa Orang-orang Cacat 1981
    menegaskan full participation and justice dan tidak bergantung kepada campassion of charity.

    Kerajaan Malaysia dengan konsep kerjasama iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian
    Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat memainkan peranan utama dalam enam aspek :
    i) mengutamakan pelbagai strategi dan program yang bersifat intervensi awal dan pencegahan
        pelbagai kecacatan dari peringkat bayi dan penempatan kanak-kanak dalam program
        pemulihan dan pendidikan yang bersesuaian.
   ii) mewujudkan pelbagai jawatan kuasa antara kementerian bertujuan menyelaras dan memantau
        perkembangan pelaksanaan program.
   iii) mengutamakan golongan yang tinggal di luar bandar.
   iv) mengutamakan pendekatan bersifat local community based daripada the specialized
        residential centre.
    v) menggalakkan decentralization bagi pusat, sekolah, kelas khas dan specialized di peringkat
        daerah, negeri dan wilayah serta tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja. 
   vi) mewujudkan kerjasama serantau dan peringkat antarabangsa dengan agensi-agensi kerajaan.

2. Sejarah Perkembangan Pendidikan Khas Mengikut Kategori

     a) Program Pendidikan Khas Bermasalah Penglihatan
  • 1926 : SRPK St Nicholas oleh Gereja Anglican di Melaka kemudian 1931 pindah ke Pulau Pinang.
  • 1948 : SRPK Princess Elizabeth dengan kemudahan asrama oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di Johor Bahru dan Institut Berasrama Pusat Latihan Gurney.
  • Pembukaan Institut Taman Harapan
  • Rancangan percantuman bagi pendidikan kanak-kanak cacat penglihatan di SR dan SM.
  • 1977 : Permulaan latihan perguruan khas di MPIK
  • 1978 : Penubuhan Jawatankuasa Utama Pembentukan kod Braille Bahasa Melayu.
  • 1983 : Pengambilalihan SRPK oleh Kementerian Pendidikan
  • 1984 : Penubuhan Jawatankuasa Kod Braille Al-Quran, bahan-bahan dalam braille seperti buku teks dan penyelenggaraan alatan braille.
     b) Program Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran
  • 1954 : Pembukaan kelas pendidikan khas di Jalan Northam Pulau Pinang.
  • 1963 : Pembukaan kelas-kelas Pendidikan Khas Rancangan Percantuman Cacat Pendengaran SR dan SM. Latihan perguruan pendidikan khas cacat pendengaran di MPIK.
  • 1978 : Pengenalan kaedah komunikasi seluruh oleh KPM untuk menggubal sistem bahasa Melayu kod tangan.
  • 1987 : Pembukaan SMPK Vokasional Shah Alam.

     c) Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran
  • 1988 : KPM memulakan kelas perintis untuk murid-murid peringkat rendah masalah pembelajaran.
     d) Program Pendidikan Khas Terencat akal
  • 1955 : Pembukaan Rumah Jubilee Johor Bahru oleh Kementerian Kebajikan Am.
  • 1964 : Penubuhan Persatuan Terencat Akal  Selangor.
  • 1966 -1988 : Penubuhan sekolah-sekolah terencat akal di Ipoh, Pulau Pinang, Johor Bahru, Seremban, Kuala Terengganu, Kuala Kubu Baru dan Tanjung Aru.
     e) Program Pendidikan Khas Percantuman/Inklusif
  • 1962 : program percantuman dan inklusif bagi murid-murid cacat penglihatan
  • 1988 : kelas perintis untuk murid-murid bermasalah pembelajaran.
  • 1993 : 3 pelajar di Tingkatan 6 Bawah SM Methodist (L) Kuala Lumpur.
  • 1994 : program rintis di 14 buah sekolah seluruh negara.
  • 1995 : Program Bermasalah pembelajaran peringkat menengah dimulakan.

3. Perkembangan Pendidikan Khas di United Kingdom :
        Di United Kingdom pada abad ke-19, Cik Bennett membuka sekolah pendidikan khas di pondok
        iaitu  Battersea Park, London untuk kanak-kanak TB. 
    
        Bilangan kes mahkamah yang bertambah dalam pendidikan khas telah menyumbang kepada
        perkembangan undang-undang pendidikan khas di United Kingdom.

        Sejak implementasi Akta Pendidikan (Education Act) 1981 sehingga Akta Special Educational
        Needs and Disability Act (SENDA)2001, bertujuan untuk memajukan sistem pendidikan khas.

        Akta  DDA (Disability Discrimination Act )1995 melarang pihak tertentu melakukan diskriminasi
        terhadap OKU dalam bidang pendidikan, pekerjaan, penyediaan kemudahan dan
        perkhidmatan.

4. SENDA 2001 memberi tumpuan pada :
     a) memperkukuhkan hak kanak-kanak berkeperluan khas untuk dididik di sekolah.
     b) memerlukan LEA ( Local Educatioan Authorities) menyediakan nasihat dan maklumat serta
         cara menyelesaikan pertelingkahan kepada ibu bapa berkenaan.
     c) memerlukan LEA mematuhi tempoh masa yang diarahkan oleh Tribunal Pendidikan Keperluan
         Khas. 
    d) memerlukan pihak sekolah memaklumkan ibu bapa tentang pendidikan khas dan penilaian
        statutori mengenai keperluan pendidikan khas pelajar.

5. Perkembangan Pendidikan Khas di Amerika Syarikat :
     Pada abad ke-18 dan abad ke-19, kanak-kanak cacat diasuh dan dididik oleh institusi khas serta
     diasingkan daripada masyarakat.
   
     Idea Johnn Wilhelm Klein 1810, bahawa kanak-kanak cacat perlu diberi perhatian khusus iaitu
     kanak-kanak cacat sepatutnya belajar bersama-sama dengan kanak-kanak normal dan tidak
     diasingkan. Namun tidak mendapat sambutan. Walau bagaimanapun selepas 90 tahun, idea
     tersebut dihidupkan semula.

     Pada 1900, kebanyakan sekolah awam di Amerika Syarikat telah menubuhkan kelas khas bagi
     mereka yang buta, pekak, terencat akal, cacat anggota dan masalah dalam pertuturan.

    Pada tahun 1963,Presiden John F. Kennedy meluluskan kertas Perundangan Public Law 94 - 142
    yang menghuraikan takrifan serta perkhidmatan untuk kanak-kanak cacat.

    National Education Association (NEA) telah meluluskan rresolusi pendidikan untuk kanak-kanak
    cacat.

   Mjenurut psycology wikia pada tahun 1950-an dan 1960-an, Persatuan Keluarga dan Advokasi
   telah ditubuhkan untuk membela nasib kanak-kanak kurang upaya. Kerajaan persekutuan telah
   memperuntukkan dana dan undang-undang yang menyokong, membangun dan melaksanakan
   program-program serta perkhidmatan untuk mereka.

  Bahagian 504 daripada undang-undang Rehabilitasi tahun 1973 telah menjanjikan hak-hak sivil
 untuk orang kurang upaya menerima bantuan kewangan.

  Pada tahun 1975, undang-undang awam (PL 94-142) memberi hak istimewa kepada kanak-kanak 
  kurang upaya menerima pendidikan secara percuma.

  Civil Right Act of 1964 perlindungan dan menentang diskirminasi kepada orang cacat. 1990, skop
  pendidikan khas diperluaskan kepada kategori autism dan kecederaan otak (traumatik) dan pada
  tahun 1997 diperluaskan pada kanak-kanak hyperaktif (ADHD)

  2004, akta Disabilities Education Act memperuntukkan bahawa kanak-kanak kurang upaya yang
  melibatkan diri dalam kegiatan senajata api, dadah atau kekerasan boleh ditempatkan dalam
  tatacara pendidikan alternatif sementara. 


Unit 3 : Punca dan pencegahan

1. Etiologi atau punca-punca kecacatan :

a) biologi
b) psikologi
c) persekitaran

2. Menurut Winzer (1996) , wujud 3 kategori  utama faktor risiko iaitu risiko yang telah lama wujud (established risk), risiko biologi dan risiko persekitaran.

3. Faktor risiko biologi terbahagi kepada 3 iaitu Peringkat Prenatal (Penghamilan), Peringkat Prinatal (7 bulan - 2 minggu lahir) dan Postnatal (semasa membesar)

a)Peringkat Prenatal (Penghamilan)
  • Jenis darah tidak sesuai (faktor Rh). Kewujudan protein menghasilkan Rh+ dan Rh-. Jika Rh ibu dan janin berlainan, darah ibu, akan menghasilkan antibodi yang menyerang darah janin. Kesannya lahir tidak cukup bulan, kuning dan kecacatan otak.
  • Jangkitan penyakit ibu semasa mengandung; kencing manis, meningitis, demam kuning, sifilis, rubella dan virus.
  • Toksemia ; racun pada darah ibu.
  • Anemia; bekalan oksigen ke otak terputus.
  • Lahir tak cukup bulan/prematang
  • Kurang makan makanan berzat.
  • Ketidaknormalan kromosom; Genetik (Sebelum lahir 23 pasang kromosom - 1 daripada ibu dan 1 daripada bapa)
  • Stres semasa mengandung (emosi terganggu) akibat kemiskinan dan lain-lain. Sekiranya berpanjangan akan mengeluarkan hormon kortisone yang mengalir ke saluran darah. ( Tidak dapat oksigen yang cukup akan menyebabkan ADHD.
  • Faktor umur ibu ; ideal (22-25 tahun), tua menyebabkan anak sindrom down, muda akan menyebabkan sukar lahir. 
  • Resapan bahan luaran (terotogen) oleh uri melalui pemakanan atau kulit atau deria.
  • Pengambilan dadah atau ubatan atau bahan khayalan menyebabkan kecacatan anggota (thalidomide).
  • Amalan merokok menyebabkan saluran darah dalam uri mengecut dan mengurangkan oksigen dan zat makanan sampai ke janin. Degupan jantung janin cepat, keguguran, kecacatan dan prestasi akademik rendah.
  • Pengambilan alkohol berbahaya pada tiga bulan terakhir. Saiz bayi kecil, sindrom penarikan (withdrawal) lambat dalam pembelajaran dan tidak cergas.
  • Pendedahan Pancaran Radiasi - X-ray menyebabkan mutasi genetik iaitu kecacatan sistem saraf. Menghadapi tumor, leukemia dan pembesaran terbantut.
b) Peringkat Perinatal (Semasa kelahiran)
  • Sebelum melahirkan (labour-situasi sakit untuk melahirkan). Masa melahirkan panjang (8-11 jam) menyebabkan lemas, kecacatan dan kerencatan akal. Proses yang terlalu lama menyebabkan terputusnya bekalan oksigen.
  • Bersalin (delivery) akibat melintang atau songsang, air mentuban pecah terlalu awal menyebabkan jangkitan , uri berada di kedudukan yang tidak betul dan kesukaran bersalin. Forcep atau ubat penahan sakit untuk membantu kelahiran boleh membahayakan bayi.  Anoksia (tali pusat terbelit)  dan memutuskan bekalan oksigen ke otak. Bayi boleh dijangkiti virus yang dibawa oleh ibu seperti herpes (lepuh-lepuh berair pada kulit) yang menyebabkan cerebral palsy, sawan dan kerencatan akal, buta, pekak dan lain-lain lagi.
c) Postnatal (Selepas kelahiran)
  • Kemalangan, penyakit (demam panas), meningitis. Virus menyerang selaput/penutup otak dan saraf tunjang (spinal cord), kekurangan oksigen (lemas, menghidu bahan toksik, tercekik), pendarahan serangan terhadap tisu-tisu otak seperti ensefalitis. Kemalangan boleh menyebabkan kerosakan tisu otak ataupun sistem saraf tunjang.
  • Keracunan seperti keracunan plumbum (lead poisoning) menyebabkan kerosakan neurologi yang berterusan.
  • Pemakanan kanak-kanak yang tidak sempurna
  • Faktor persekitaran di mana kanak-kanak itu dibesarkan.
4. Risiko persekitaran timbul disebabkan oleh faktor persekitaran seperti kemiskinan, permasalahan
    keluarga, trauma, pendedahan pergaulan dan lain-lain.
  • Faktor psikologi : perkembangan emosi dan sosial. Kurang mendapat kasih sayang. Gangguan hiperaktif
  • Pencemaran toksin : kesan pada autisme. Contohnya kilang yang mengeluarkan asap yang banyak di Brick Township, New Jersey menyebabkan kes kanak-kanak autistik.
  • Bahan Pengawet dan pewarna tiruan : menyebabkan perilaku hiperaktif. Kadar timah (lead) dalam serum darah anak yang meningkat.
  • Mendapat penyakit berjangkit : disebabkan oleh bakteria dan virus.
5. Pencegahan berlakunya kecacatan :
  • Imunisasi untuk golongan remaja dan wanita iaitu Rubella bertujugan untuk mengelakkan jangkitan Rubella (German Measles) yang menyerang ibu mengandung pada tiga bulan pertama.
  • Mengelakkan pengambilan dadah dan alkohol yang boleh menyebabkan kecacatan pendengaran. Sekiranya telah dikenalpasti seawal tiga bulan, kanak-kanak diberi bantuan alat pendengaran dan pembedahan koklea. Mereka masih ada harapan untuk mendengar.
  • Mengelakkan mengandung ketika usia mencecah atau melebihi 35 tahun yang boleh menyebabkan Sindrom Down. Ibu boleh menjalani ujian imbasan kehamilan tiga bulan pertama atau FTPS.
  • Menguji sel yang dikenali sebagai Pensempelan Vilus Korion bagi pengesanan sebaran kecacatan genetik. Kaedah lain ialah melakukan ujian Amnonsentesis.
  • Program kerjasama antara pelbagai disiplin termasuk terapi bahasa, terapi pertuturan, ahli psikologi, guru pendidikan khas, pentadbir dan lain-lain untuk mengembangkan potensi kanak-kanak. Pengesanan dan intervensi awal penting untuk mengenalpasti kecacatan yang dialami. Contoh disleksia seperti Thomas Edison, Leonardo de Vinci, Winston Churchill, George Pattorn dan William Butler Yeats.
  • Tidak membiarkan anak mengalami demam panas berpanjangan yang boleh menyebabkan penyakit sawan (epilepsi).
  • Elakkan daripada kemalangan yang boleh menyebabkan kecacatan seperti hentakan kuat pada kepala yang boleh merosakkan sistem saraf dan kerencatan akal.
  • Ibu mengandung mengambil makanan seimbang. Kekurangan gula, kalsium dan magnesium di dalam darah mengakibatkan epilepsi kepada bayi.
  • Lawatan ke klinik mengikut jadual bagi mengetahui perkembangan kandungan bayi.
  • Elakkan daripada terdedah pada keracunan plumbum seperti bau cat,  petrol dan sebagainya.
  • Rehat yang mencukupi dan tiada tekanan.
  • Elakkan mengambil minuman keras dan makanan yang tidak berkhasiat. 
Unit 4 : Kanak-kanak bermasalah pembelajaran, komunikasi dan tingkahlaku

1. Kanak-kanak bermasalah pembelajaran, komunikasi dan tingkahlaku terdiri daripada pelbagai
    kategori  seperti Sindrom Down, Perkembangan Lewat, Autisme dan Hiperaktif.

2. Menurut Smith (1996) , kanak-kanak yang 'specific difficulties' adalah mereka yang tidak
    mempunyai kecacatan pancaindera dan kerosakan organik yang nyata, mempunyai masalah
    kesukaran dalam pembelajaran seperti membaca, menulis, mengeja dan matematik serta kanak-
    kanak tidak memberi tindak balas terhadap pengajaran normal.

3. Jenis-jenis bermasalah pembelajaran ialah ;
   a) Oral language difficulties ; terdiri daripada dua jenis iaitu Dysphasia ( sebahagiah
       ketidakupayaan untuk memahami percakapan dan sukar bercakap) dan Aphasia (hilang
       keupayaan untuk memahami, memanipulasi atau mengekspresi perkataan dalam percakapan dan
       gaya penulisan)

   b) Reading difficulties ; terbahagi kepada disleksia (sebahagian ketidakbolehan untuk membaca
       atau memahami apa yang dibaca  dan alexia (kanak-kanak yang kehilangan keupayaan untuk
       membaca, menulis ataupun menterjemahkan bahasa.)

   c) Writting difficulties ; terbahagi kepada Dysgraphia ( sebahagian ketidakbolehan menulis) dan
       Agraphia (ketidakbolehan menulis secara keseluruhan ). Formulation dan Syntax Disorder
       adalah ketidakupayaan untuk menyusun idea dengan jelas dan meringkaskan corak perkataan.

   d) Arithmetic difficulties ; terbahagi kepada Dycalculia ( sebahagian ketidakbolehan dalam
       menyelesaikan pengiraan) dan Acalculia (ketidakbolehan secara keseluruhan untuk
       menyelesaikan masalah pengiraan)

4. Punca-punca berlaku masalah pembelajaran menurut Mercer 1977 secara perubatannya dan
    berkaitan denang etiologies. Terdapat empat punca iaitu :

    a) Acquired Trauma : berlaku semasa dalam kandungan (prenatal), semasa kelahiran (perinatal)
        dan selepas kelahiran (postnatal). Gold dan Sherry (1984) dalam kajiannya menjelaskan bahawa
        terdapat hubungan korelasi di antara ibu yang mengambil alkohol semasa mengandung dan akan
        menyebabkan berlakunya learning difficulties kepada anak-anak yang dilahirkan. Colletti (1979)
        dalam Sujathamalini (2007) mempunyai banyak masalah kelahiran yang dirangsang (induce
        birth) dan kelahiran forceps. Kemalangan dan jangkitan penyakit yang menyebabkan kerosakan
        otak.

    b) Faktor Keturunan : Menurut Hallgren (1950) dalam Sujathamalini (2007) mengkaji tentang
        276 kanak-kanak Disleksia dengan keluarganya dan didapati permasalahan disebabkan diwarisi
        daripada keluarga. oleh itu faktor genetik mempunyai pengaruh berlakunya masalah
        pembelajaran.

    c) Faktor Persekitaran : Allergic pada sesetengah makanan seperti Natural ataupun Sythetic yang
        dikenali sebagai Salicylate ialah bahan kimia yang terdapat dalam pewarna dan perisa tiruan. 
        Selain itu, persekitaran yang tidak kondusif akan mewujudkan kesukaran dalam pembelajaran.

    d) Biochemical Abnormalities : Disebabkan oleh sel-sel. Kekurangan dalam pengeluaran
        neurotransmitters seperti serotin, dopamine, neropinephrine, acetlycholine dan bahan-bahan
        kimia sebagai penyebab kesukaran dan kesan pembelajaran serta masalah tingkah laku.

5. Ciri-ciri kanak-kanak bermasalah pembelajaran menurut Clements (1966) terdapat sepuluh ciri-ciri
    yang telah dikenalpasti. Menurut Seidenberg (1997) terdapat 9 ciri kanak-kanak learning
    difficulty iaitu :
  • Hiperaktif : aktiviti motor tidak sesuai dan melampau
  • Attention dificit : task or behaviour that is repeated over and over...(Sujathamalini 2007:9)
  • Motor dificits : masalah ko-ordinasi
  • Perceptual-motor deficit :kesukaran dalam mencantumkan rangsangan penglihatan atau pendengaran dengan tindak balas motor.
  • Language deficits : Lambat dalam pertuturan dan sukar untuk memahami dan merumus bahasa percakapan.
  • Impulsivity : Kekurangan dalam tingkah laku yang reflaktif
  • Cognitif deficits : Kanak-kanak lemah dalam memori dan konsep formation.
  • Orientation deficits : Perkembangan spatial yang lemah atau konsep temporal
  • Specific learning difficulties : menghadapi masalah membaca, menulis dan mengira
6. Bermasalah pembelajaran dan masalah pendengaran adalah akibat daripada kerosakan pada
    telinga yang mengurangkan intensiti bunyi yang sampai ke telinga dalam.

.   Bunyi-bunyi masuk melalui salur auditori ke gegendang telinga yang menyebabkan tiga tulang
    kecil dalam telinga yang bergetar dan menghantar bunyi.

    Walau bagaimanapun masalah pendengaran berlaku apabila wax (tahi telinga), atau kecacatan,
     gegendang telinga pecah, luka atau berlubang boleh menyebabkan pekak.

    Kanak-kanak bermasalah pendengaran mempunyai masalah kecacatan kerana tidak dapat
    mendengar, maka tidak dapat bertutur dan tidak dapat berfikir seperti kanak-kanak normal.

     Menurut Barbara (2001), 70%kes kepekakan kogenital dikaitkan dengan faktor genetik tidak
     bersindrom manakala 30% sebagai kepekakan bersindromik.

     Kanak-kanak cacat pendengaran biasanya digolongkan dalam dua kumpulan iaitu
     pratutur/prelingual (pekak sejak lahir/mempunyai masalah pembelajaran dan komunikasi lebih
     teruk) dan postutur/postlingual (cacat pendengaran separa atau sepenuhnya tetapi pernah
     mempunyai pengalaman bercakap)

7. Bermasalah pembelajaran dan penglihatan bukan sahaja mempunyai satu kecacatan malah
    mempunyai kecacatan yang lain.Masalah penglihatan boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit
    lain atau melalui keturunan atau diperolehi melalui jangkitan dan persekitaran (Richard, 2003)

    Julia Jantan et.al, (2009), masalah penglihatan ini terdiri daripada dua keadaan iaitu masalah
    penglihatan dan masalah fizikal dan masalah penglihatan dan kecelaruan tingkah laku.

  •     Masalah penglihatan dan masalah fizikal:
    a) Juvile Rheumatoid Arthritis (JRA) : sejenis penyakit arthritis yang menyebabkan radang dan
        kekejangan pada sendi. Berlaku kecelaruan autoimunisasi apabila badan seseorang
        mengeluarkan antibodi yang tidak serasi dengan tisu badannya. Tindakbalas autoimunisasi
        menyerang sendi, mata, hati, jantung dan organ badan. Akibatnya JRA akan menyerang empat
         sendi dan menyebabkan penyakit mata yang dikenali sebagai iritis dan ada yang mendapat
         penyakit uveitis seterusnya kesakitan yang teruk pada sendi.

    b) Sickle-cell Anaemia : dikenali juga anemia sel sabit adalah anemia darah kronik yang
         mengakibatkan kekurangan bekalan darah kepada organ penting dan kekurangan bekalan
         oksigen kepada sel darah. Sickle cell adalah sel darah merah berbentuk sabit dan mempunyai
         hemoglobin yang tidak normal, mudah bergumpal dan tersangkut pada salur darah. Akibatnya
         salur darah tersumbat menyebabkan penyakit, jangkitan virus dan kerosakan organ. Penghidap
         anemia juga mengalami penyakit mata, masalah jantung, masalah paru-paru dan sakit kuat pada
         abdominal. Seterusnya jaudis (sakit kuning) iaitu pada bahagian putih mata berwarna kuning.

    c) Cytomegalovirus (CMV) : berkaitrapat dengan AIDS dan HIV positif  iaitu sistem imunisasi
        sudah lemah mudah dijangkiti CMV. Penyakit yang timbul ialah retinitis bermaksud sel pada
        retina iaitu di bahagian belakang mata mati yang boleh menyebabkan buta. Justeru, rawatan
        segera dengan memberi suntikan terus ke dalam mata sangat berkesan.

  •    Masalah Penglihatan dan kecelaruan tingkah laku : menyebabkan tingkah laku yang ganas, sikap  terlalu bergantung kepada orang lain, suka menentang, tidak menurut kata, mengelak membuat  kerja, tingkah laku pasif dan lain-lain kerana menghidapi masalah penglihatan. Berlaku ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak dan juga kekurangan fungsi kawalan otak. Mereka menghadapi masalah menyesuaikan diri dalam berkomunikasi, kemahiran mengurus kehidupan dan kemahiran mengawal emosi dan sosial.
8. Strategi meningkatkan kefungsian kanak-kanak bermasalah pembelajaran ialah :
  • Strategi pengajaran : prosedur spectrum ujian yang berbeza, guru yang berbeza untuk menentukan pembelajaran.
  • Pengesanan awal : Ibu bapa, pakar perubatan, guru (saringan penglihatan dan pendengaran )
  • Intervensi awal : Rancangan pembelajaran individu, penggunaan cermin mata bagi masalah penglihatan refraktif, kaedah pembelajaran Braille, alat bantu dengar (hearing aid) . Kanak-kanak slow learner (lembam) belajar di kelas pemulihan.
Unit 5 : Kanak-kanak bermasalah Penglihatan

1. Mohd Hafiz Baharom dan Mohd Rizlan (2009) menyatakan setiap orang menggunakan
    penglihatan untuk aktiviti pengurusan diri, mengenali sesuatu objek dan sebagainya.

2. Mata digunakan untuk belajar, mengendalikan kemahiran motor dan tingkah laku sosial. 80%
    daripada yang dipelajari untuk perkembangan kanak-kanak adalah melalui penglihatan.

3. Ketika bayi baru lahir, ketajaman penglihatan mereka adalah 6/60, semasa 4 tahun 6/6.

4. Di Malaysia keadaan buta ialah 0.2%, penglihatan rendah ialah 2.44%. Kanak-kanak yang cacat
    penglihatan biasanya ketinggalan dari segi perkembangan fizikal dan motor.

5. Definisi masalah penglihatan daripada dua perspektif iaitu :
  • Perundangan : Menurut Wong Huey Siew (2006), masalah penglihatan melibatkan penilaian ketajaman penglihatan 20/200 atau kurang pada mata yang terbaik dengan pembetulan. Maksudnya, kalau penglihatan normal boleh lihat objek pada 200 kaki tetapi yang mempunyai masalah penglihatan hanya boleh melihat pada 20 kaki sahaja. Lapangan penglihatan pula tidak lebih daripada 20 darjah pada keluasan diameter berbanding penglihatan normal 180 darjah. Separa rabun pula ketajaman penglihatannya ialah 20/70 dan 20/200 pada mata terbaik dengan pembetulan.
  • Pendidikan : Sekumpulan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas kerana masalah penglihatan. Kaedah penyampaian pembelajaran dan bahan bantu mengajar perlu diadaptasikan dengan keperluan kanak-kanak supaya dapat mengoptimakan pembelajaran dan pencapaian.
6. Terdapat dua kategori utama dalam masalah penglihatan iaitu buta dan rabun warna (penglihatan
     terhad/low vision). Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), mendefinisikan kedua-dua kategori
     sebagai gangguan visual berdasarkan kurangnya ketajaman visual atau kurangnya jangkauan
     penglihatan.

7. Ketajaman penglihatan dapat diukur secara kuantitatif dengan menggunakan grafik yang
    mempunyai simbol dan pelbagai ukuran. Ketajaman visual dari 6/18, bermakna pesakit hanya
    dapat membezakan antara objek yang berjarak 6 meter berbanding orang normal pada jarak 18
    meter. Ketajaman 3/60 bermaksud pesakit dapat membezakan simbol pada 3 meter berbanding
    orang normal pada 60 meter.

8. Menurut Jamilah (2005), kebutaan, rabun atau penglihatan terhad (low vision), sederhana, teruk
    dan sangat teruk adalah :
  • Kebutaan : Penglihatan kurang daripada 3/60 dan medan penglihatan kurang daripada 10 darjah setelah menerima rawatan ataupun pembetulan biasa (refractive).
  • Rabun atau penglihatan terhad (low vision) : Penglihatan kurang daripada 6/18 sehingga persepsi cahaya pada mata yang terbaik atau medan penglihatan kurang 10 darjah sesudah rawatan. Dapat melakukan tugas seharian dengan menggunakan deria penglihatan. Masalah penglihatan dapat dilihat dalam tahap berikut :
          i) Sederhana : masih boleh melihat cahaya dan menjalankan aktiviti melibatkan deria
              penglihatan dengan menggunakan alat bantu khas seperti kanta.
         ii) Teruk : memerlukan lebih banyak tenaga dan masa dalam menjalankan aktiviti malah
              mengalami kesukaran melakukan aktiviti berkaitan penglihatan termasuk mobiliti walaupun
              dengan bantuan alat khas.
         iii) Sangat teruk : mengakibatkan kanak-kanak menghadapi kesukaran melakukan aktiviti
               visual seperti membaca dan mobiliti serta bergantung pada deria-deria lain.

9. Menurut Nancy dan Kathleen (2005), kebutaan dan rabun adalah kerosakan visual termasuk buta
    yang menjejaskan prestasi pendidikan individu yang mengalami masalah buta. Kerosakan ini
    merujuk pada ketidaknormalan mata iaitu saraf optik atau pusat visual untuk otak. Visual
    ketajaman ialah 20/70.

10. Sara Begum (2003) menyatakan pelajar yang mengalami masalah penglihatan dikategorikan kepada lapan iaitu :
  • astigmatisme (rabun)
  • glaukoma (tekanan biji mata yang merosakkan saraf urat mata)
  • strabismus (juling)
  • ambiplia (mata malas)
  • diplopia (nampak dua)
  • albinisme (sensitif pada cahaya)
  • myopia (rabun jauh)
  • hyperopia (rabun dekat)
11. Punca-punca masalah penglihatan dan bahagian mata : Menurut Mohd Sharani (2004), masalah
      visual timbul daripada sebarang gangguan dengan laluan cahaya itu daripada kemasukannya
      ke  mata untuk ditafsirkan oleh otak
  • a) Refractive disorder : disebabkan ketaksekatan dalam bentuk atau saiz bola mata, kornea atau kanta. Rabun jauh, hyperopia, astigmatisme dan rabun tua adalah jenis-jenis utama gangguan biasan.
  • b) Ocular motility : masalah gangguan-gangguan gerak mata disebabkan oleh otot tidak berfungsi. Diplopia adalah penglihatan berganda.
  • c) Eye pathologies : kesan kerosakan pada satu atau lebih struktur mata termasuk penyakit mata, katarak, retinapathy pra-matang, retinitis pigmentosa, berotot retina kemerosotan, renablastome, disbetic retinapathy, pengasingan retina dan atrofi saraf optik.
  • d) Lain-lain kecacatan : Buta warna yang disebabkan oleh sel-sel retina rosak. Orang yang terbabit mempunyai fotofobia. Cortical blindness berlaku apabila terdapat beberapa kerosakan pada otak.
  • Kajian Rokiah et al (2005) menunjukkan 25.4% kanak-kanak mengalami masalah penglihatan terhad sederhana, 33.9% masalah penglihatan teruk dan 40.7% adalah buta. Punca utama adalah katarak kongenital, nistagmus kongenital, glaucoma kongenital/keturunan, degenerasi makular keturunan dan retinitis pigmentosa.
  • Amblyopia/lazy eye atau mata malas disebabkan oleh juling. Salah satu mata tidak berfungsi dengan betul. Penglihatan menjadi kabur dan menimbulkan kekeliruan. Juling berlaku kerana tidak ada koordinasi antara otot-otot mata  menyebabkan mata tidak lurus, tetapi bertemu di atas, terpesong keluar atau tegak ke atas ke bawah.
  • Katarak sejenis kerosakan mata di mana kanta mata berselaput dan rabun. Kanta mata keruh dan cahaya tidak dapat menembusinya.Kebiasaannya pesakit kencing manis yang gagal mengawal penyakitnya. Kandungan gula dalam darah menjadikan kanta kurang kenyal dan membentuk katarak. Selain daripada orang tua, kanak-kanak dan bayi baru lahir boleh mendapat katarak apabila ibu mengidap jangkitan seperti rubella. 
  • Diabetic retinopathy disebabkan oleh tekanan cecair yang terlampau tinggi di dalam bola mata seseorang (Friend 2005). Tekanan yang tinggi merosakkan sel retina dan serabut saraf sehingga ruang penglihatan menjadi sempit dan buta. Bagi glaukoma, tekanan cecair meningkat kerana saluran cecair tersekat akibat kerosakan saraf. Glaukoma terbahagi kepada dua iaitu glaukoma akut dan glaukoma kronik. Tanda-tanda glaukoma kronik ialah ruang penglihatan menjadi semakin kecil, penglihatan kabur dan rabun, kesukaran menyesuaikan penglihatan dalam keadaan gelap dan kerap menukar cermin mata kerana penglihatan masih tidak terang.
  • Age related Mascular Degeneration (AMD) adalah penyebab utama kehilangan penglihatan dan kerabunan (Mason 2001). Berlaku apabila makular yang merupakan sebahagian daripada retina yang berfungsi sebagai ketajaman dan pusat penglihatan untuk membaca atau memandu semakin merosot. Terbahagi kepada dua iaitu basah dan kering.
12. Organ mata dan fungsinya :
  • Kornea : selaput hening di hadapan biji mata yang menutup mata hitam dan anak mata. Mempengaruhi hampir keseluruhan kuasa mata.
  • Retina : Lapisan mata paling dalam yang peka kepada cahaya mata hitam.
  • Makular : Merupakan kawasan anatomi kecil yang dapat dibezakan daripada tisu sekelilingnya.
  • Iris : Bahagian yang paling jelas pada matanya dan mempengaruhi warna mata.
  • Kanta mata : Bersifat lut sinar, memfokus objek pada jarak yang berbeza-beza.
  • Pupil : Bahagian tengah anak mata, berwarna hitam, di kelilingi oleh iris, mengawal jumlah cahaya yang masuk ke dalam mata.
13. Ciri-ciri masalah penglihatan.
  • a) Fizikal ; mempunyai mata juling, sering mengerdip, sering menggosok mata, sering tersandung atau terjatuh. Selain itu, menutup sebahagian mata, menundukkan kepala ke tepi atau ke depan apabila melihat sesuatu, berkerut atau mengecilkan mata. Menoleh ke arah lain apabila dipanggil (pandangan tepi lebih baik). Jika separa buta, melihat bayang, warna atau gambar yang besar dan memegang buku dekat dengan muka untuk membaca.
  • b) Intelek : WHO (2009) berpendapat kanak-kanak cacat penglihatan berupaya untuk berjaya sekiranya mendapat peluang, bimbingan dan tunjuk ajar. Walau bagaimanapun menurut Nancy Hunt & Kathleen Marshal (2005), kerosakan visual mempengaruhi pembangunan dan pengajian kanak-kanak. Perkembangan kognitif akibat buta terbahagi kepada tiga kawasan, julat dan pelbagai pengalaman, keupayaan untuk bergerak dan interaksi dengan persekitaran.
  • c) Kesihatan : Menurut Mason (2001), penyebab utama penglihatan terhad di Malaysia ialah kesalahan refraktif yang tidak diperbetulkan dan katarak. Kajian oleh Sharon et.al (2008),kerosakan penglihatan dikaitkan dengan masalah kesihatan yang menurun. Kurang bersenam sehingga mempunyai risiko serangan penyakit jantung. Penyakit campak yang dihidapi ibu mengandung, kurang vitamin A. Selain itu, kualiti hidup yang meleset, mengurangkan status kefungian dalam masyarakat, pergantungan pada orang lain, risiko kemalangan, risiko jatuh, tempat tinggal kotor dan miskin iaitu kuman sitomegalovirus boleh menyebabkan kecacatan saraf.  
  • d) Tingkahlaku : Perlu perhatian yang lebih kerana mempunyai tingkah laku ganas, sifat terlalu bergantung kepada orang lain, menentang, tidak mahu menurut kata, sikap suka mengelak daripada melakukan sesuatu kerja dan tingkah laku pasif. Puncanya kerana ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak dan kekurangan fungsi luar kawal otak.
14. Strategi mengatasi masalah penglihatan :
  • Rabun dekat : kanta pembesar, cermin mata berkuasa tinggi, cermin mata dekat dan bifokal.
  • Pemeriksaan penglihatan yang lengkap.
  • Pendidikan perlu dilengkapi dengan peralatan yang sesuai mengikut tahap masalah yang dihadapi sebagai keperluan mobiliti sosial seperti tongkat putih, mesin Braille, alat sentuhan peta, gambar rajah timbul, model tiga dimensi, teleskop dan sebagainya.
  • Peranan optometris dapat membantu menangani masalah gangguan penglihatan.
  • Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, jabatan kerajaan dan swasta untuk kemudahan.


      







     
     

      

    

 

    

   



2 comments:

  1. terima kasih cikgu... nota yang sangat membantu!!!

    ReplyDelete
  2. Terima kasih cikgu...tetapi cikgu tidak nyatakan apakah itu Model Perubatan dan Model Sosial.

    ReplyDelete