Monday, 28 May 2012
MARKAH TEKNOLOGI MAKLUMAT
Aku amat bersyukur kerana memperoleh markah penuh untuk penghasilan blog iaitu 30/30. Bagi tugasan 2 iaitu Pembudayaan ICT di sekolah pula, aku memperoleh 19/20 manakala bagi tugasan 1, aku memperoleh 10/10. Pencapaian yang cukup memotivasikan diriku untuk terus buat yang terbaik selepas ini. Tahniah buat kawan-kawan yang seangkatan denganku yang mana mereka turut memperoleh markah yang memberangsangkan. Tidak lupa ucapan terima kasihku kepada pensyarah-pensyarah, kawan-kawan, keluarga dan rakan-rakan guru di SK. Taman Tuanku Jaafar 2 yang membantu dan mendorong aku untuk terus menyambung pengajian. Semoga usaha murniku ini mendapat keredhaan-Nya. Amin.
Monday, 14 May 2012
TEKS UCAPAN GURU BESAR SEMPENA HARI GURU - 2012
Bismillah......
Assalamualaikum wm..wbt..,
Yang berbahagia Encik Jor bin Ahmad, Yang Dipertua PIBG, SK. Taman Tuanku Jaafar 2.
Yang berusaha Puan Rahimah bt Ibrahim, GPK 1.
Yang berusaha Puan Lim Chiew Yang, GPK HEM.
Yang berusaha Encik Azissul bin Mahat, GPK Kokurikulum.
AJK PIBG, barisan guru yang dedikasi seterusnya murid-murid yang dikasihi sekalian.
Alhamdulillah. Bersyukur kita ke hadrat Allat S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnianya dapat kita berhimpun pada hari yang berbahagia ini sempena sambutan hari guru. Sambutan Hari Guru pada hari ini adalah sebagai tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru.
Selaku Guru Besar SK. Taman Tuanku Jaafar 2, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini, untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di sekolah ini. Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan atas segala pengorbanan dan sumbangan besar para guru terhadap murid-murid dan sekolah ini.
Pencapaian demi pencapaian diperolehi dan kejayaan demi kejayaan dikecapi baik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum sehingga sekolah ini mula digeruni oleh sekolah-sekolah rendah yang lain. Malah sekolah ini mula dijadikan sebagai penanda aras kepada sekolah-sekolah yang lain. Inilah bukti yang menunjukkan bahawa para guru di sekolah ini sentiasa positif dalam melonjakkan transformasi pendidikan negara.
Murid-murid dan guru-guru yang dirahmati Allah sekalian,
“Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”. Begitulah tema hari guru pada tahun ini. Pada pendapat saya, guru-guru di sekolah ini telah memainkan peranan ke arah merealisasikan pendidikan bertaraf dunia. Apa yang saya lihat ialah para guru di sekolah ini bukan sahaja menekan aspek akademik dan kokurikulum semata-mata. Para guru di sekolah ini juga berusaha untuk membangunkan modal insan dengan memberi tumpuan kepada sistem nilai iaitu aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri para pelajar.
Guru memainkan peranan yang signifikan kepada pembinaan dan pembangunan sahsiah dan peribadi murid-murid. Malah, dengan perkembangan semasa yang mana berlakunya gejala ponteng sekolah, pergaduhan dan lain-lain dipikul oleh guru dengan rasa penuh tanggungjawab.
Bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menuntut agar para guru dapat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Hadirin yang saya muliakan,
Inisiatif Tawaran Baru telah menunjukkan hasil yang amat positif apabila guru-guru di sekolah ini layak menerima bayaran insentif atas perkhidmatan mereka yang cemerlang. Alhamdulillah, segala perit jerih guru-guru sekalian telah membuahkan hasil apabila sekolah ini menerima baiah sekali lagi bagi tempoh dua tahun berturut-turut. Untuk itu, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru di sekolah ini.
Saya yakin dengan adanya guru-guru yang berdedikasi, proaktif, inovatif dan ibu bapa yang prihatin maka Insya-Allah proses melonjakkan transformasi pendidikan negara di sekolah ini dapat direalisasikan. Dengan keringat guru-guru ini, maka sekolah dapat melahirkan insan yang mulia dan membina masa depan yang sejahtera.
Hadirin sekalian,
Bertitik tolak daripada sumbangan dan pengorbanan guru ini, maka sewajarnya murid-murid dan masyarakat meraikan sambutan hari guru pada hari ini sebagai menghargai warga pendidik . Bak kata pujangga tentang guru ialah,
Dialah pemberi paling setia,
Tiap akar ilmu miliknya,
Pelita dan lampu segala,
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa, dia juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru. Semoga para guru sekalian akan terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menabur jasa kepada nusa dan bangsa.
Sekian, wabilahitaufiq wal-hidayah wassalam....
Saturday, 12 May 2012
TEKS UCAPAN YDP PIBG SEMPENA HARI GURU - 2012
Bis........
Assalamualaikum wm..wbt..
Yang berusaha Puan Hajah Noor Semarli bt Hj Alias, Guru Besar Cemerlang SK. Taman Tuanku Jaafar 2.
Puan Rahimah bt Ibrahim, Guru Penolong Kanan 1.
Puan Lim Chiew, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
Encik Azissul bin Mahat, Guru Penolong Kanan Kokurikulum.
Barisan Ahli Jawatankuasa PIBG, SK. Taman Tuanku Jaafar 2.
Guru-guru yang diraikan dan murid-murid yang dikasihi sekalian.
Saya ingin melahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama meraikan sambutan Hari Guru Peringkat sekolah pada tahun ini. Semoga hari yang penuh bermakna bagi warga pendidik di sekolah ini disambut dalam suasana yang ceria, harmoni dan menyeronokkan.
Sidang hadirin yang berbahagia,
Saya ingin mengambil kesempatan dan peluang pada hari ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru dan Terima kasih Cikgu buat semua guru di sekolah ini. Guru-guru di sekolah ini begitu dedikasi, jujur dan ikhlas dalam melaksanakan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab. Mereka telah mendidik, mengajar, membimbing malah turut mengasuh murid-murid agar menjadi insan yang harmonis.
Bertepatan dengan tema hari guru pada tahun ini iaitu Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara. Guru-guru di sekolah ini adalah sebahagian daripada guru-guru inovatif yang terdapat di Malaysia. Kejayaan demi kejayaan telah dicipta baik dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Kesungguhan para guru untuk membawa transformasi atau perubahan di sekolah ini, tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Kejayaan pihak sekolah menerima ‘baiah’ dalam tempoh dua tahun berturut-turut membuktikan betapa konsistennya pengurusan pihak sekolah dan peranan yang dimainkan oleh setiap warga sekolah.
Kini, peranan guru dalam melonjakkan transformasi pendidikan negara harus bergerak seiring dengan penerapan nilai-nilai murni. Anak-anak ibarat kain putih yang bersih maka sememangnya ibu bapalah yang harus mencorakkannya. Namun, ibu bapa turut meletakkan harapan yang tinggi agar anak-anak mereka turut memiliki sahsiah yang sempurna semasa di sekolah.
Kerana apa? Kerana di sekolahlah, anak-anak ini berpeluang untuk mengembangkan bakat, kebolehan, kecenderungan, mengeluarkan pendapat, berkomunikasi dan berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya. Peluang tersebut tidak mereka miliki semasa mereka berada di rumah atau bersama keluarga. Lebih-lebih lagi apabila para guru dijadikan sebagai role model kepada keberkesanan pendidikan untuk murid-murid di sekolah dan masyarakat
Sidang hadirin yang dihormati,
Selaku YDP PIBG, saya turut merasakan betapa pentingnya sambutan hari guru diadakan pada 16 Mei setiap tahun. Sambutan hari guru ini adalah satu pengiktirafan dan penghargaan tentang peranan guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa Malaysia. Justeru, wajarlah bagi murid-murid, ibu bapa dan masyarakat meraikan sambutan hari guru . Inilah cara yang terbaik untuk melahirkan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa insan yang tidak ternilai yang bernama guru.
Kepada semua murid yang saya kasihi sekalian, hargailah jasa para guru.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Akhir kata, kepada semua para pendidik di sekolah ini, jasa, bakti dan pengorbanan yang cikgu berikan amat dihargai dan disanjung tinggi. Sama-samalah kita memanjatkan doa agar semua guru di SK. Taman Tuanku Jaafar 2 ini diberi kekuatan, kegigihan dan kesihatan agar dapat melaksanakan tugas yang mulia ini.
Sekian, wabilahitaufiq wal-hidayah wassalam........
Friday, 11 May 2012
TEKS UCAPAN KETUA MURID SEMPENA HARI GURU - 2012
Assalamualaikum wm..wbt..
Yang Berbahagia Encik Jor bin Ahmad, Yang Dipertua PIBG, Sekolah Kebangsaan
Taman Tuanku Jaafar 2.
Yang Berusaha Puan Hajah Noor Semarli bt Haji Alias, Guru Besar Cemerlang, Sekolah
Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar 2.
Puan Rahimah bt Ibrahim, Guru Penolong Kanan 1. Puan Lim Chew Yang, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Encik Azissul bin Mahat, Guru Penolong Kanan Kokurikulum.
Barisan Guru Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar 2 yang dedikasi.
Seterusnya rakan-rakan pencetus kegemilangan negara.
Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul pada hari ini dengan hasrat yang satu iaitu meraikan sambutan hari guru.
"Selamat Hari Guru buat semua guru yang kami sayangi"
Rakan-rakan sekalian,
Guru-guru sentiasa berada di barisan hadapan dalam melahirkan generasi berilmu bertepatan dengan tema hari guru pada tahun ini iaitu “ Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara”.
Segala kejayaan yang kita kecapi, semalam, hari ini dan esok terletak pada tugas yang digalas oleh insan yang bergelar guru. Tugas guru merupakan satu tugas yang mulia dan murni. Guru telah mendidik kita dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu. Maka tidak hairanlah guru dapat melonjakkan transformasi pendidikan negara agar lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Segala pengajaran yang diberikan oleh semua guru amat kami hargai. Akan kami gunakan segala ilmu yang telah disampaikan untuk membina jati diri. Seterusnya, berbakti kepada agama, bangsa dan negara tercinta.
Kami sebagai generasi muda, berjanji akan meneruskan legasi kemakmuran dan keharmonian negara ini.
Cikgu,
Kalau tinggi Gunung Everest, tinggi lagi budimu, cikgu.
Kalau dalam lautan Atlantik, dalam lagi jasamu, cikgu.
Kalau harum bau kasturi, harum lagi pengorbananmu, cikgu.
Terima kasih cikgu,
Akhir kata, sekali lagi saya dan rakan-rakan mengucapkan Selamat Hari Guru. Kami doakan semoga cikgu-cikgu panjang umur, murah rezeki, sihat dan dapat terus berbakti dengan tulus dan ikhlas demi melahirkan modal insan minda kelas pertama.
Sekian, terima kasih.
Thursday, 10 May 2012
Peperiksaan Semester 1
Minggu ini merupakan minggu peperiksaan di SK Taman Tuanku Jaafar 2. Proses berjalan dengan lancar. Murid-murid tekun menjawab soalan. Selepas ini, para guru dan murid-murid boleh menyambut Hari Guru dengan ceria dengan bersukan, buat persembahan, makan-makan dan main boling. Selepas itu, jangan lupa tanda kertas periksa. Buka sahaja sekolah, perjumpaan tiga penjuru menanti pula. Hari terbuka untuk ibu bapa dan penjaga ke sekolah. Bolehlah berbincang dan mencari penyelesaian demi melahirkan modal insan minda kelas pertama dan mampu bersaing dalam pasaran global. Maju bangsa, maju negara...
Subscribe to:
Posts (Atom)